Penyediaan minit curai merupakan satu perkara yang perlu diambil
perhatian oleh seseorang pegawai atau guru yang telah menghadiri kursus,
mesyuarat, taklimat atau bengkel yang dikelolakan oleh PPD, JPN atau
KPM. Penyediaan minit curai tersebut amat penting kerana pihak pentadbir
perlu mengetahui perkara-perkara yang didedahkan kepada pegawai yang
hadir serta mengambil tindakan terhadap apa yang telah diputuskan dalam
kursus, mesyuarat, taklimat atau bengkel berkenaan. Justeru itu, segala
arahan lisan serta maklumat-maklumat yang disebarkan kepada pegawai
berkenaan dapat disampaikan dengan jelas kepada pihak pentadbir.
Sekiranya pegawai yang hadir ke kursus atau mesyuarat tersebut amat
proaktif maka minit curai tersebut akan diserahkan seberapa segera
kepada Guru Besar atau pegawai atasannya. Tindakan awal pegawai tersebut
akan membawa impak yang besar kerana pihak pentadbir atau pegawai yang
sepatutnya dapat mengambil tindakan awal terhadap segala yang tercatat
dalam minit curai itu.
Bagaimanapun perkara yang tidak sepatutnya telah berlaku selepas Kursus
Pendedahan Modul Asas 3 dan Kelestarian Numerasi yang telah diadakan
pada 16 hingga 18 Jun yang lalu. Kebanyakan guru numerasi yang hadir
tidak menyediakan minit curai kepada Guru Besar dan PK Pentadbiran
masing-masing. Implikasinya Pegawai FasiLINUS telah disalahkan kerana
mengeluarkan surat memohon penjelasan kepada sekolah-sekolah yang tidak
menghantar laporan post mortem Saringan 1 LINUS yang lalu. Kebanyakan
Guru Besar mengatakan tiada surat makluman berkaitan penyediaan dan
penghantaran laporan tersebut diterima. Ternyata perkara ini dapat
dielakkan sekiranya Guru Besar meminta minit curai daripada guru yang
telah menghadiri kursus tersebut. Minit tersebut dapat dijadikan bukti
bahawa Pegawai FasiLINUS telah memberikan arahan supaya laporan tersebut
perlu disediakan dan dihantar oleh Penyelaras LINUS sekolah.
Sehubungan dengan itu, pihak pentadbir dipohon supaya membudayakan
penyediaan minit curai di kalangan guru-guru supaya segala maklumat yang
disampaikan melalui kursus, mesyuarat, taklimat dan bengkel dapat
dicakna dan dibentangkan kepada pihak pentadbir dengan lebih jelas dan
berkesan. Di samping itu, pentadbir juga wajar menyelidik dengan lebih
lanjut tentang maklumat yang disampaikan oleh guru yang telah hadir
berkursus supaya tindakan yang diambil tepat dan memenuhi kehendak PPD,
JPN atau KPM.
0 comments :